Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Nabi Muhammad S.A.W, seperti yang kita sedia maklum, baginda dikurniakan dengan pelbagai mukjizat yang menakjubkan. Kejadian mukjizat ini bukan sekadar pertunjukkan hiburan, bahkan sebenarnya sebenarnya sebagai bukti kenabian Nabi Muhammad S.A.W. Antara mukjizat baginda yang masyhur ialah kejadian terbelahnya bulan yang mendapat banyak kritikan daripada golongan penentang Islam.

Antara hujah yang mereka lontarkan ialah kejadian tersebut tidak direkodkan dalam sebarang penulisan sejarah. Untuk menjawab persoalan ini, Sheikh Bediuzzaman telah mengetengahkan jawapannya dalam Kitab Risale-i Nur versi “Kalimat”.

  1. Tiada pernyataan yang menidakkan kejadian.

Sasaran Nabi Muhammad S.A.W pada waktu itu ialah kaum Musyrikin Quraisy yang berkeras ingin melihat bukti kenabian baginda. Dan apabila kejadian itu benar-benar berlaku, kaum Musyrikin mengatakan “Ini adalah perbuatan sihir”.

Nah, kalau betul kejadian ini tidak berlaku, sudah tentu bentuk lafaz yang digunakan ialah “Kami tidak pernah melihat kejadian ini, Muhammad gagal menunjukkan terbelahnya bulan, dan sebagainya”. Akan tetapi lafaz yang telah mereka gunakan menunjukkan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku, yang mereka nafikan adalah kejadian itu berlaku kerana Nabi Muhammad S.A.W melakukan sihir, sedangkan ianya berlaku atas izin Allah.

Mereka juga berhajat untuk bertanyakan tentang kejadian ini kepada rombongan yang bakal tiba dari Yaman. Setelah ditanyakan, mereka juga turut mengakui bahawa kejadian ini memang berlaku.

2. Bilangan orang yang meriwatkan peristiwa ini.

Bagi orang yang tidak pernah mengembara, apabila dikatakan “Saya pernah ke negara Jepun”, pasti dia tidak akan mempercayainya kerana dia beranggapan negara itu tidak wujud. Namun jika 100 orang yang berkata sedemikan, sudah tentu dia akan percaya kerana adalah mustahil untuk kesemua individu itu bersepakat untuk berbohong.

Samalah konsepnya dengan peristiwa bulan terbelah ini. Perawi yang meriwayatkan peristiwa ini mencapai bilangan yang mustahil untuk kesemua mereka bersepakat untuk berbohong. Atau dalam istilah hadis, ia dipanggil Mutawatir.

3. Faktor keadaan semasa

Terdapat pelbagai aspek yang perlu diambil kira ketika terjadinya peristiwa berikut.  Peristiwa tersebut berlaku pada waktu malam yang mana kebanyakan manusia sedang tidur. Adapun di kawasan lain, penglihatan mereka terlindung dek awan yang tebal, cuaca yang mendung, atau kerana sesetengah kawasan itu telah pun mulai waktu siang seperti negara-negara sebelah timur.

Selain itu, seperti yang dinyatakan di atas, tujuan penampakan mukjizat adalah supaya umat mengakui kebenaran risalah kenabian dan meyakinkan mereka yang masih ragu untuk beriman. Oleh itu, mukjizat hanya ditunjukkan kepada mereka yang telah diperdengarkan dengan risalah kenabian. Dan katakanlah sekiranya Allah Taala membiarkan bulan itu terbelah selama 2 jam, maka seluruh manusia yang menyaksikannya dipertanggungjawabkan untuk mengakui kenabian baginda, lantas menidakkan konsep “kebebasan untuk membuat pilihan” yang diberi kepada manusia.

Ia juga berkaitan dengan ujian. Bagi umat di zaman kini, kita diuji untuk mempercayainya walaupun kita tidak mendapati sebarang bukti saintifik yang membenarkan peristiwa tersebut. Jika sewaktu zaman Musyrikin dahulu, jika kejadian itu berlangsung dalam tempoh yang lama, tidak adalah ujian keimanan bagi mereka, yang memerlukan mereka berfikir dan menaaqul.

Sebagai kesimpulannya, peristiwa ini bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi Allah. Nabi Adam Alaihi Salam dicipta tanpa ibu dan bapa, Nabi Musa yang membelah laut, air keluar dari celah jari baginda yang mulia, dan banyak lagi. Siapa yang mampu mengizinkan semua itu berlaku?

21 April 2018