Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Peristiwa Isra’ Mikraj adalah antara peristiwa teragung yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bertepatan pula dengan waktu Nabi Muhammad S.A.W kehilangan isteri dan pakciknya yang amat dikasihi, yang banyak membantu dalam menegakkan Islam.

Berpandukan kitab Risale-i Nur, kita akan menceritakan serba sedikit tentang kepentingan Mikraj ini.

  1. Penampakan tentang hakikat rukun Iman

Sebagai seorang Muslim, kita pasti sering tertanya-tanya, terutama sewaktu kita kecil dahulu, siapa tu Allah? Macam mana rupa malaikat? Macam mana agaknya suasana dalam syurga? Dan macam-macam lagi soalan yang berkaitan dengan Rukun Iman yang Enam. Mungkin ada yang terfikir, wujud ke semua tu? Nah, Nabi kita yang mulia, bila diangkat ke langit, atau dimikrajkan, baginda dapat bersemuka secara roh dan jasad. Macam mana rupa malaikat, indahnya syurga, dahsyatnya neraka, dan yang paling penting, bersemuka dengan Pencipta Yang Maha Agung. Dari peristiwa ni, kita dapat bertambah yakin tentang kebenaran rukun Iman. Ia memang wujud, dan yang menyampaikan berita tu pun gelarannya Al-Amin.

  1. Menerima kewajiban solat

Kadang-kadang kita rasa liat nak buat satu perkara ni. Mungkin ada sesetengah orang yang cemburu melihat kaum lain tak perlu lakukan ibadah ni. Dan kadang-kadang dia lakukan ibadah ni kerana rasa terpaksa terpaksa. Ya, itulah solat. Kita rasakan solat ni macam satu beban. Sedangkan solat ni sebenarnya hadiah teragung dari Allah S.W.T. Penenang hati, merehatkan badan, mengekalkan kesihatan, dan banyak lagi faedahnya, sesuailah dengan sifat ‘hadiah’, memberi manfaat kepada penerimanya.

  1. Nabi dapat melihat keindahan syurga

Kita semua maklum dengan frasa “buat baik balasannya syurga” ni. Namun, bagi kanak-kanak kecil yang masih belum berakal, mereka ingin lebih dari sekadar ungkapan ayat yang macam ni. Kadangkala mereka ingin mendapatkan gambaran yang membuatkan mereka berasa lebih teruja untuk mendengar tentang keindahan syurga, maka Mikraj Nabi ini telah memberikan jawapannya. Keindahan syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas di akal fikiran kita.

  1. Melihat wajah Allah.

Di akhirat nanti, jika urusan hisab kita dimudahkan, itu pun sudah cukup melegakan kita, terlepas dari ancaman neraka dan masuk ke dalam syurga, pasti akan menggembirakan kita. Namun, tidak ada nikmat yang lebih besar melainkan nikmat dapat melihat pencipta kita Yang Maha Mulia. Nabi Muhammad ﷺ terlebih dahulu dapat nikmat ini. Dari penyaksian ini juga, sebagai Muslim, akidah kita semakin mantap dengan keyakinan bahawa tiada suatu pun yang dapat diserupakan dengan Pencipta Yang Maha Kaya.

  1. Meninggikan darjat manusia.

Malaikat dicipta dari cahaya. Jin dicipta dari api. Malaikat itu gagahnya, tuhan saja yang tahu, tapi yang pasti, kekuatan sepuluh orang lelaki pun belum tentu sama dengan kekuatan walaupun satu malaikat. Api sifatnya yang selalu membakar, apa sahaja bahan yang disentuh api, mesti hangus. Kedua-dua makhluk ni, bukan makhluk yang biasa-biasa. Dan manusia pulak, diciptakan dari tanah. Dibakar hitam, cantik pun tidak. Tapi darjat manusia ditinggikan dengan Mikrajnya Nabi Muhammad S.A.W. Sedangkan Jibril ketua segala malaikat pun tidak mampu, tapi seorang manusia dapat melepasi lapisan yang paling tinggi yang tiada seorang malaikat pun yang pernah lepas.

Subhanallah, Wal Hamdulillah, Wa Lailahaillah, Waallahu Akbar!

19 April 2018