Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Tayar bagasi melanggar lututku di dalam trem Metro petang itu. “Sorry” sangat perlahan tapi jelas didengari di gegendang telingaku.
“Its okay” balas aku. Dia terus menoleh kepalanya ke arahku.
“You can speak English?” tanyanya dengan penuh teruja. Terpancar kelegaan yang tidak boleh diceritakan dengan kata-kata pada wajahnya. Dia tidak bertudung dan semestinya bukan rakyat Turki. Di tangannya ada dua bagasi. Jelas sekali baru tiba dari Atarturk Airport.

Aku mengangguk. “Alhamdulillah, why not?” gurauku sambil senyum padanya. Kami berbual dan dia meminta tolong untuk aku tunjukkan jalan ke hotel yang dia sudah booking secara online. Oh lupa, dia orang Uzbekistan dan menetap di UK. Oleh sebab itu dia fasih berbahasa Inggeris.
Kebetulan, laluan untuk aku pulang ke kediamanku satu jalan dengannya. Dia bagitahu yang dia sudah berulang kali menelefon orang hotel tapi orang hotel bagitahu mereka tak pernah membuat servis penginapan hotel. Aku dah syak, mereka kena tipu. Malangnya mereka sudah bayar hotel tersebut.
Kami bertukar nombor telefon dan aku mengatakan pada mereka bagitahu sahaja jika perlukan pertolongan. Aku akan cuba tolong. Malam itu dia ada bertanya sesuatu kepadaku melalui Whatssap. Kami berjanji untuk berjumpa keesokan harinya di MacDonald berdekatan Masjid Sultan Ahmet kerana di situlah satu satunya tempat mereka boleh mendapatkan wifi.
Keesokan paginya, aku turun dari trem di stesen Sultan Ahmet. Perutku dah mula menyanyikan lagu Dondang Sayang kerana aku belum menjamah apa apa lagi makanan pada pagi itu. Mataku tertumpu pada sebuah gerai yang menjual Simit panas panas. Baunya saja sudah buat aku tidak keruan. Semasa aku mahu membayar roti itu, ada seseorang menepuk bahuku dari belakang.
“Feru!”. Dia memeluk rapat tubuhku dan aku juga membalas pelukannya. Dia kata dia dah nampak aku tapi dia saja nak bagi kejutan. Dialah wanita Uzbekistan yang aku jumpa semalam. Entah kenapa baru jumpa semalam tapi dah rasa macam kawan lama. Itulah hebatnya bila dapat rasa hebatnya nikmat persaudaraan sesama manusia.
Darjat pangkat dan umur bukanlah penghalang. Iya, Feruza seorang Muslim. Tapi sekarang dia janda anak satu. Bekas suaminya dulu berjanji akan mengajarnya tentang Islam, cara membaca Al-Quran dan banyak lagi hal yang kalau aku tulis disini tidak akan habis. Tapi bila sahaja kahwin, semua janji janji manis itu terbang macam debu. Kerana jodoh tidak panjang, mereka bercerai. Feru yang dulunya bertudung litup, sekarang tidak lagi.

Tapi sepanjang aku bersama dengannya di sekeliling Istanbul, dia memberitahuku yang dia tidak mahu anaknya yang sekarang berumur 5 tahun itu mengalami pengalaman buruk sama sepertinya. Sebaik mungkin dia cuba untuk solat 5 waktu dan berdoa untuk anaknya. Dia mahu anaknya menjadi seorang gadis Muslim yang baik, solat setiap waktu dan pandai baca Quran. “I want her to be like you. A good Muslim.”
Aku bukan nak cakap aku baik.
Tapi kadang-kadang kita cuma perlu jadi Muslim yang baik untuk tarik orang jadi baik. Tidak perlu tunggu ilmu penuh di dada untuk mengajak orang berminat dengan Islam. Peribadi sahaja sudah boleh buat orang jatuh cinta.
Istanbul, Turki.
21 April 2018










