Laporan Berita oleh Şeyma Gür

Diterjemahkan oleh Zati Nazifah binti Abdul Rahim

Prof. Dr.İshak Özgel, ahli akademik dari Universiti Süleyman Demirel, dalam program seminar “Hidup dengan Al-Qur’an” di IFSC telah mendedahkan kedudukan dan kepentingan Risale-i Nur dalam kalangan tafsir Al-Qur’an.

Özgel menjelaskan bahawa salah satu ciri paling penting yang membezakan Ustaz daripada ahli-ahli tafsir kontemporari adalah beliau tidak terikat dengan jangkaan dan keperluan semasa. Beliau berkata, “Sekiranya anda melihat kepada medium dimana beliau pernah menulis dan kehidupan beliau, anda akan dapat melihat bahawa beliau tidak sibuk untuk memuaskan hati manusia. Kecenderungan manusia akan membawa anda ke titik yang mereka inginkan. Mereka yang hanya berusaha untuk memuaskan hati manusia tidak akan dapat menyampaikan apa sebenarnya yang dikehendaki oleh Al-Qur’an terhadap mereka.”

Özgel menerangkan bahawa Al-Qur’an adalah teks yang mengubah dan mentransformasikan para pendengarnya dalam semua aspek manakala Risale-i Nur menyingkap makna dan kebenaran yang terselindung dalam Al-Qur’an dengan cara memujuk fikiran dan memuaskan hati mereka dan seterusnya merasai perubahan tersebut.

Dalam ucapannya, Prof. Özgel menarik perhatian terhadap perbezaan antara makna dan kebenaran seterusnya mengindikasikan bahawa penafsiran adalah suatu aktiviti penemuan, dengan menyatakan bahawa “Penemuan ialah menyingkap sesuatu yang wujud. Al-Qur’an mempunyai makna, kebenaran, dan juga misteri. Mentafsirkan bermaksud menyingkap semua perkara tersebut. Sekiranya hanya makna yang disingkap sementara kebenaran diabaikan, bukan sahaja tidak dapat memuaskan hati manusia malah juga tidak dapat beramal sepenuhnya dengan kebenaran Al-Qu’ran dalam kehidupan.”

“Malah kata-kata, frasa, ungkapan dan ayat memberi makna tersendiri. Walau bagaimanapun, makna tersebut mempunyai realiti dan kebenaran dalam minda, hati dan kehidupan manusia. Penjelasan kepada kebenaran adalah suatu tindakan penemuan yang bukan sahaja membahaskan mengenai fikiran manusia tetapi juga perasaan; ia memujuk minda dan memuaskan hati tanpa memisahkannya. Ia menunjukkan ketenangan yang diberikan oleh keharmonian dari kebenaran Al-Qur’an dan realiti dari dunia luar. Risale-i Nur seperti yang digambarkan oleh kata-kata Said Nursi sebagai ‘penterjemah penilaian’, jelas menunjukkan kebenaran kepada kepercayaan yang terselindung dalam Al-Qur’an.”

“Risale-i Nur meletakkan manusia dalam keadaan berhubung dengan seluruh alam semesta, yang mana pada pandangan saya, memberikan manusia ketenangan yang paling hebat. Realiti saya dan Al-Qur’an saling bertindih. Kebenaran agama saya dan kebenaran fitrah saya saling berkaitan.”

İshak Özgel menarik perhatian kepada perbezaan antara tafsir, ilmu tafsir dan juga buka-buku tafsir:

“Perkataan tafsir dalam makna yang paling umum adalah untuk mengetahui tujuan Allah Ta’ala. Semua jawapan yang diberikan kepada persoalan ‘Apa yang ingin diperkatakan oleh Allah dalam ayat-ayatnya dikenali sebagai ‘tafsir’. Oleh yang demikian, kita boleh menyimpulkan bahawa semua kegiatan Islam adalah aktiviti penafsiran. ‘Fiqh’ adalah usaha untuk mengetahui apa itu ‘ibadat’ (penyembahan), ‘muâmelat’ (transaksi atau urusan), dan ‘ukûbat’ (hukuman). ‘Al-Kalām’ adalah usaha untuk memahami kehendak Allah dari segi ‘bagaimana dan dalam bentuk apa untuk percaya’. ‘Al-Tasawwuf’ adalah usaha untuk belajar dan merasai perbuatan menyembah hanya kerana Allah, mencapai pengetahuan dan kesedaran (dan menyaksikan) Allah. Kesemua ilmu ini, yang pada dasarnya adalah satu, dianggap sebagai berasingan bagi tujuan definisi.”

“Tafsir Al-Quran bukan hanya terdiri daripada kitab-kitab ilmu tafsir. Ia mempunyai makna yang lebih luas. Sekiranya kebudayaan sesebuah bangsa telah dibentuk dan diubahsuai dengan Al-Quran, maka hikayat dan peribahasa bangsa tersebut juga boleh dianggap sebagai sejenis tafsir. Apabila kita merujuk kepada beberapa peribahasa, dengan mudah kita dapat melihat bahawa peribahasa tersebut diinspirasikan oleh Al-Qur’an dan diterjemahkan dalam bentuk peribahasa untuk menjelaskan mesej-mesej tertentu dari Al-Qur’an. Karya sastera seperti novel atau puisi membolehkan kita memahami dan beramal dengan kalimah-kalimah Allah Ta’ala. Namun sekiranya kita hanya melihat dari sudut pandang ilmu tafsir, maka karya dan buku-buku mengenai ilmu tersebut sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.”

“Kekurangan yang kita rasakan pada hari ini bukanlah buku-buku tafsir, tetapi kekurangan jejak Al-Qur’an dalam bentuk kesusasteraan bertulis dan visual serta ketiadaan dunia pemikiran dan ruh yang dihiasi dengan kebenaran-kebenaran Al-Qur’an yang merangkumi kehidupan dan manusia dari semua aspek.”

Seterusnya Profesor Özgel menyentuh perkara-perkara yang mempengaruhi dan diperlukan dalam penjelasan Al-Qur’an serta menganalisis perkembangan aktiviti tafsir dan kaedah tafsir. Beliau berkata, “Tidak pernah ada buku yang dijelaskan seperti Al-Qur’an Al-Karim. Sepanjang tempoh lebih dari 1400 tahun, Al-Qur’an telah diterjemahkan dalam semua bidang yang berkaitan dengan manusia dan alam semesta, namun keputusan yang konsisten diperoleh dari setiap cubaan. Ini menunjukkan betapa besarnya keajaiban Al-Qur’an.”

Özgel menyatakan bahawa bertutur dengan bahasa yang berbeza, hidup pada masa dan lokasi yang berbeza, serta mempunyai keperluan dan jangkaan yang berbeza terhadap penerima, memerlukan kepada tafsir Al-Qur’an. Pada ketika ini Özgel turut menarik perhatian terhadap masalah tertentu: “Tafsir yang ditulis di bawah pengaruh / kewajiban terhadap permintaan dan keinginan populasi yang dituju telah mengalihkan masyarakat dari tujuan Ilahiyat.”

Özgel mengklasifikasikan dan memberi contoh kepada jenis-jenis tafsir yang berikut:

  • Lügavî: (memberikan makna berdasarkan kamus)
  • Ahkâm: (memberikan penjelasan berdasarkan peraturan)
  • İşârî: (memberikan makna berdasarkan implikasinya)
  • Saintifik (memberikan makna berdasarkan pencapaian dan perkembangan saintifik)
  • Madhabî (memberikan interpretasi berdasarkan ilmu perundangan Islam)

Özgel, mengklasifikasikan ilmu tafsir kontemporari sebagai:

  • Saintifik
  • Tematik
  • Sosial
  • Sastera

Beliau kemudiannya menganalisis Risale-i Nur dari perspektif pembahagian ini.

Beliau merujuk kepada kata-kata Bediuzzaman yang menyatakan, “Terdapat dua jenis tafsir; Pertama, tafsir yang diketahui yang menjelaskan dan membuktikan makna setiap ekspresi, kalimah dan ayat Al-Qur’an. Jenis tafsir yang kedua ialah tafsir yang mengisytiharkan, membuktikan dan menjelaskan kebenaran Al-Qur’an berkenaan kepercayaan berserta dengan bukti yang kuat”. Özgel kemudian memfokuskan kepada istilah ‘mengisytiharkan, membuktikan, dan menjelaskan’ kemudian memberikan contoh kepada jenis tafsir yang kedua ini yang pasti dapat difahami dengan baik oleh pakar-pakar bidang tersebut.

Profesor menjelaskan apa yang dia maksudkan dengan mengatakan Ustaz menggunakan bukti yang kukuh dalam membuktikan kebenaran kepercayaan:

“Risale-i Nur mendedahkan bagaimana Kitab Alam Semesta dan Al-Qur’an menerangkan antara satu sama lain. Kelangsungan alam semesta tidak berubah. Orang yang berdosa, orang kafir dan orang Islam tinggal di tempat yang sama. Bumi berputar sama sahaja untuk semua. Ia menjelaskan tanpa bergantung kepada mana-mana teori bahawa tidak ada fakta seperti datangnya musim panas selepas musim bunga, datangnya siang selepas malam, pemakanan bayi dalam rahim ibu, kelangsungan hidup manusia selepas dilahirkan berlaku secara kebetulan. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa ia menghapuskan kelemahan yang wujud dalam tafsir kontemporari. Ustaz Nursi meletakkan Kitab Alam Semesta di hadapan kita dan selagi ianya ada di sana, tidak ada yang dapat menafikannya.”

Akibat daripada kaedah yang sedemikian muncul sebagai kepercayaan melalui penyiasatan.

Prof. Özgel menyimpulkan bahawa:

“Said Nursi memenuhi jangkaan yang sama seperti tafsir kontemporari dan mencapai tujuan yang diinginkan. Walau bagaimanapun beliau menyandarkan kaedah beliau pada dinamik yang berbeza. Beliau mencapai matlamat tafsir kontemporari tanpa jatuh ke dalam kekurangan mereka.”

“Said Nursi berjaya menyampaikan mesej tersebut kepada orang ramai, yang mana turut diharapkan oleh Tafsir Sosial, tetapi tidak seperti pergerakan yang hanya menganggap manusia sebagai matlamat, dan juga model masyarakat yang dibatasi oleh persepsi Barat terhadap manusia, beliau lebih suka memfokuskan terhadap minda dan pada masa yang sama terhadap hati manusia.”

Ketika menjawab soalan daripada penonton, beliau memberitahu bahawa Bediuzzaman menyebutkan 626 ayat pada permulaan bab-bab dan merujuk kepada beribu-ribu ayat dalam keseluruhan teks-teks Risale-i Nur dan itu merupakan salah satu ciri yang paling penting yang perlu ada pada penulis tafsir, iaitu penguasaan keseluruhan makna Al-Qur’an Al-Karim, tidak semestinya hanya hafalannya.