Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Dia seorang lelaki berbangsa Kurdi yang luar biasa. Genius. Alim. Tawadhu’. Sentiasa menyampaikan dakwah tentang iman dengan penuh kasih sayang dan mengelakkan dari menggunakan kekerasan. Beliau lahir di satu wilayah bernama Nurs, iaitu di Timur Turki. Masa kecilnya tidak sama seperti kanak-kanak yang lain. Dia sudah mula memikirkan masalah yang bukan pada tahap umurnya. “Mana yang lebih baik, hidup seribu tahun dalam kemewahan kemudian menghadapi kematian, atau kehidupan abadi yang penuh penderitaan?” Dan beliau telah memilih yang kedua.

Beliau mempelajari ilmu agama pada usia yang muda. Tauhid, Fiqh, Hadis, Tafsir, Mantiq, dan pelbagai lagi. Dia dikurniakan kekuatan ingatan yang amat luar biasa di mana beliau menghafal hampir 90 kitab-kitab utama. Kepakarannya dalam bidang ilmu juga tidak dinafikan. Diceritakan oleh Sheikh Seyyid Almas, beliau telah diuji kemahirannya dalam bidang ilmu agama oleh para alim ulama. Dan mereka sangat takjub kerana belum pernah mendapati ada orang yang begitu alim seperti dirinya. Dan mengikut tradisi, orang yang “lulus” dari ujian keilmuan ini akan dipakaikan dengan serban [menandakan dia seorang ulama besar]. Namun, beliau menolak untuk memakai serban tersebut dan memilih untuk melilit kepalanya dengan serban seperti cara orang Kurdi [kerana sifat tawaduknya yang begitu tinggi].

Beliau turut mempelajari ilmu sains seperti kimia, fizik, ilmu falak, dan sebagainya di sebuah kawasan bernama Van. Kerana kemampuan beliau dalam menguasai 2 bidang ilmu yang berbeza ini [agama dan sains], beliau digelar sebagai “Keajaiban Zaman = Bediuzzaman”. Pada suatu hari, beliau terbaca petikan akhbar yang mencatatkan ucapan Menteri Penjajahan Inggeris, Gladstone yang berkata “Kita tidak akan dapat mengalahkan orang Muslim selagi mana mereka berpegang dengan Al-Quran. Sama ada kita redahkan martabat Al-Quran ini, atau kita palingkan orang Islam darinya”. Kata-kata ini menyebabkan beliau mengungkapkan kata-kata ini “Akan aku buktikan bahawa Al-Quran ini adalah matahari yang tidak akan terpadam”.

Kehidupan beliau dapat dibahagikan kepada 2 fasa. Said Lama dan Said Baru [beliau sendiri menggunakan gelaran tersebut]. Fasa Said Lama ialah fasa di mana beliau terlibat aktif dalam bidang politik, hidup bersosial, serta jihad dalam menetang penjajah Orang Inggeris rentetan kekalahan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Fasa kedua beliau bermula apabila beliau mula hidup dalam buangan kerana aktiviti dakwah beliau yang amat tidak disenangi oleh pihak atasan yang berfikiran sekular.

Penderitaan yang beliau alami bukan sedikit. Beliau dipenjara beberapa kali. Kerap dibuang dari satu negeri ke satu negeri. Bahkan beliau turut diracun dengan harapan usaha dakwah Islam akan terhenti. Beliau turut kehilangan orang-orang yang dikasihi yang bukan sedikit jumlahnya. Tapi Tuhan itu Maha Berkuasa, beliau tetap tabah meneruskan kehidupannya dalam menyampaikan kebenaran Al-Quran.

Beliau mendapati masalah yang dihadapi oleh ummat ini ialah masalah Iman. Ditambah pula dengan kedatangan pemikiran sekular dan ateisme, menyebabkan masyarakat menjadi semakin rosak dan kacau bilau. Menggunakan medium penulisan, beliau berusaha untuk membasmi ideologi kufur ini dengan cahaya kebenaran Al-Quran. Usaha ini sudah tentu mendapat tentangan dari pihak atasan yang jauh dari Islam.

Hanya pada zaman Adnan Menderes, seorang ahli politik yang cenderung kepada Islam, perubahan di Turki mulai bermula. Penghayatan Islam semakin mendapat perhatian masyarakat. Sehingga menjadikan Turki pada hari ini.

Beliau wafat di sebuah kawasan di Urfa. Namun disebabkan pada waktu itu berlakunya revolusi tentera, kuburnya telah dibongkar dan dipindahkan di satu kawasan yang tidak diketahui melakukan beberapa individu. Ketika proses pemindahan dilakukan, mereka mendapati jasadnya masih utuh. Satu tanda yang kita sebagai Muslim sudah sedia maklum.

اللهم أحيينا بحياة العلماء, وأمتنا بموت شهداء, وأدخلنا الجنة مع الأنبياء

25 April 2018