Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Aku mengambil telefon di meja belajarku, dan jam menunjukkan pukul 6.55 pagi. Mata masih berat selepas terlelap sekejap dari solat Subuh pagi tadi. Aku menolak selimut yang masih menyelubungi badanku.
Dengan berat kaki, aku mengambil laptop lalu berjalan meluru ke arah ruang tamu. ‘Bismillahirrahmanirrahim’ mulutku terkumat kamit menyebut kalimah mulia itu. Aku menyambung kerjaku yang belum siap sepenuhnya. Aku meletakkan target pukul 7.30 pagi, kerja itu harus siap kerana aku perlu bersiap pula untuk menaiki bas ke Beşıktaş.

Masa terus berlari tanpa menoleh sesaat pun. ‘Done email’ getus hatiku. Aku melihat jam dan ia menunjukkan pukul 8.07 pagi. Terkejut sebab dah lewat, aku terus bersiap bila memikirkan aku belum menyeterika tudung lagi!
Sepantas kilat aku mengorak langkah dan apabila sampai di stesen bas, aku toleh jam yang ada pada tanganku lagi. 8.30 pagi. Allah.
Disebabkan trafik yang sangat sesak dan sudah tidak boleh dibawa bincang, aku sampai ke destinasi pada pukul 9.30 pagi. Aku memohon maaf kepada sahabat Turkiku yang sudah lama menungguku. Dia cuma senyum dan berkata, ‘tak apa’ sambil menghulurkan sarapan untukku. Kami menaiki kereta menuju ke tempat yang sudah dijanjikan.
Alhamdulillah, orang tak ramai dan parking pun banyak yang masih kosong. Di tangan masing masing sudah ada DSLR di tangan. Melangkah je menaiki tangga, mulut terus memantulkan ucapan Subhanallah. Cantiknya tempat tu, Allah sahaja yang tahu.

Iya. Cantiknya sesuatu kerana Allah yang menciptakan. Kalau dunia sudah sebegini cantik, tak dapat digambarkan indahnya Syurga, yang dihiasi dengan sungai jernih yang berperisa susu, istana yang gah lagi hebat dan dikelilingi bidadari serta bidadara yang tidak kurang indah wajahnya.
Tugas kita cuma satu. Tidak lain tidak bukan untuk beribadat kepadaNya dan menjadi khalifah sekalian alam. Pernah tanya pada diri sudah cukupkah usaha yang dilakukan untuk mengecap syurga yang kekal abadi? Kita mengidam syurga tanpa menyedari usaha pun belum cukup lagi. Allah masih membuka pintuNya, cuma terserah pada kita mahu tetap berdiri di depan pintu atau masuk menyambut seruan Ilahi.
Uskudar, Turki.
19 April 2018.









