Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

“Buktikan pada aku yang negara yang luas terbentang ini mempunyai mempunyai penciptanya dan hanya 1, atau jangan kau ganggu lagi kepercayaan aku selepas ini!”

“Kalau itu yang kau mahukan, baiklah. Aku berikan 3 bukti bahawa pencipta bukan sahaja negara ini, bahkan seluruh alam semesta, sememangnya wujud, dan tiada yang lain selain dia”.

Pertama.

Lihatlah sekeliling kita. Ada “tangan” yang tersembunyi yang mengaturkan semuanya. Bayangkan, sesuatu yang tidak mempunyai kekuatan walaupun sedikit, misalnya biji benih – kecil, mudah dihancurkan – dengan saiznya yang sedemikian, siapa sangka daripadanya, setelah beberapa lama, daun-daun kecil, yang kian membesar, dari mudah layu ditiup angin, hinggalah mencapai jumlah yang tidak terhitung, batang pokok yang mudah patah ditimpa hujan, akhirnya tumbuh besar, kekal teguh biarpun ditiup angin, bahkan keluar darinya pelbagai buah-buahan yang beraneka rasa dan warna. Siapa yang mampu mengatur dengan penelitian sebegini?

Kedua

Kapas. Ayuh kita lihat kepada misterinya. Bagaimana kejadiannya pada permulaan. Dan dari makhluk yang lembut serba ringan ini, lihat pula hasilnya. Jutaan pakaian yang terhasil darinya. Bergulung-gulung lembaran kain yang sentiasa diproses dan dikeluarkan. Begitu juga dengan manisan. Pelbagai jenis makanan yang diproses yang menggunakan gula sebagai penyedap rasa. Kedua bahan ini, setelah sekian lama ia sentiasa diambil, ia masih lagi mencukupi. Bagaimana pula dengan bahan lain? Emas? Perak? Ikan di laut? Siapa yang begitu cekap “membuat kawalan bahan” sebegini?

Ketiga

Lihatlah pada kejadian diri kita sendiri. Manusia itu semuanya ada jumlah anggota badan yang sama. Namun, kita semua berbeza. Wajah kita sebagai contoh. Walau hattakan kembar seiras sekalipun, ada perbezaannya. Hari ini, anggaran jumlah manusia secara keseluruhan ialah 7 bilion. Bagaimana dengan yang telah meninggal dunia? Tahun-tahun sebelum ini? Siapakah yang mempunyai kebijaksanaan seperti ini yang mampu menciptakan makhluk yang sangat kompleks?

Ada yang mengatakan semua ini terjadi atas dasar alam semula jadi. Atau kerana keupayaan intelek yang wujud dalam diri hidupan tersebut.

Baiklah, kalau begitu, siapa yang meletakkan keupayaan itu? Dan cuba kita bayangkan, apabila sesuatu itu mempunyai keupayaan intelek, ia perlu membuat pilihan yang rasional terhadap setiap tindakannya. Kalaulah sekecil-kecil sel manusia itu mampu berfikir, pasti ia mempunyai keinginannya untuk membuat keputusan. Bayangkan pula keputusan yang dihasilkan oleh jutaan sel, pasti akan berlaku ketidak seimbangan. Kerana terlalu banyak ‘tuhan’ yang perlu dipatuhi. Berbanding dengan wujudnya Tuhan yang Esa, yang mengatur segalanya, seluruh penghuni alam semesta patuh kepada perintahnya, lihatlah kesan keteraturan yang kita alami pada hari ini.

Jawapan sudah jelas terbentang. Masih belum nampak?

18 April 2018