Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Sheikh Badiuzzaman Said Nursi bukan orang yang biasa-biasa. Masa kecilnya sudah menunjukkan bahawa dia mempunyai kelainan berbanding kanak-kanak seusianya. Ketika kanak-kanak lain berlari-lari dengan hati yang riang, dia tekun memikirkan tentang persoalan yang menjangkaui umur. Mana yang lebih baik, hidup mewah dan penuh kekuasaan selama 1000 tahun dan berakhir dengan ketiadaan, atau pun hidup yang kekal abadi yang perlu dijalani dengan penuh derita. Dan dia memilih yang kedua.

Masa mudanya diisi dengan pengajian agama, serta pengajian ilmu berkaitan sains. Pada masa itu, kedua ilmu ini diasingkan, bahkan jangan sekali-kali cuba dicampuradukkan. Kehidupannya sentiasa fokus dalam menyampaikan ilmu serta melahirkan masyarakat yang lebih baik. Seperti mana sukarnya membentuk manusia, dia juga seringkali diuji dan menerima peringatan. Dan dia memanggil ujian ini sebagai “Tamparan Kasih Sayang”.

Ketika Sheikh Bediuzzaman tekun mengajar tentang hakikat AL-Quran kepada orang ramai, terdapat seorang tokoh masyarakat yang sering merisaukan pihak kerajaan kerana kelantangannya menentang kerajaan yang mana pemimpinnya melawan agama. Tokoh itu telah berjaya ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati. Adapun Sheikh Bediuzzaman, dia terus dapat mengajar tanpa sebarang gangguan. Namun ketika mana dia terfikir untuk menyendiri di runtuhan gua untuk mengenangkan nasibnya di akhirat nanti, ketika itulah dia ditangkap dan diasingkan ke daerah Burdur.

Di sana, kawalan penjara sangat ketat. Laporan berkala bagi banduan adalah satu kemestian. Adapun Sheikh Bediuzzaman dan pengikutnya, mereka tidak melakukannya ketika mana beliau mengabdi kepada Al-Quran. Bahkan terdapat pegawai yang melaporkan hal itu kepada orang atasan, namun balasan yang diterima adalah “Hormatilah dia, dan jangan sekali-kali mengganggunya”. Semua ini berlaku dengan berkat Al-Quran. Namun bila beliau memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri, serta malas untuk mengabdi kepada Al-Quran, hukuman segera datang kepadanya yang menariknya dari keinginannya itu, iaitu pengasingan di suatu tempat bernama Isparta.

Berikut sedikit sebanyak nukilan tentang “Tamparan Kasih Sayang” Sheikh Bediuzzaman Said Nursi. Tamparan kasih sayang membuat beliau kembali kepada Al-Quran. Kita?

15 MAC 2018