Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Segala puji bagi Allah kerana di beri peluang untuk menghirup udara di bumi Istanbul.
Bila sebut sahaja perkataan “Pelarian Syria”, fikiran umat Islam pasti tidak akan lekang dengan gambaran anak anak kecil Syria yang kebanyakannya telah kehilangan ibu dan ayah mereka. Di usia mereka yang masih kecil, sudah banyak kesusahan yang mereka terpaksa tempuhi.
Pada 9 Februari yang lalu, saya dan beberapa sukarelawan di institut (iikv) telah mengadakan lawatan ke beberapa buah keluarga Syria yang telah dipindahkan ke Turki. Kami bertolak pada pukul 3.30 petang dengan menaiki kereta milik salah seorang sukarelawan di institusi itu.
Selepas memarkir kereta, kami berjalan kaki menerjah lorong lorong kecil di kawasan itu. Jelas terpampar di wajah mereka kegembiraan apabila kami tiba di rumah mereka. Kami disambut dengan pelukan erat dari setiap tubuh kecil mereka. Semasa berbual dengan mereka, anak anak Syria tadi mengeluarkan kad laporan akademik milik mereka. Kami berasa takjub dengan pencapaian yang diperolehi mereka. Semuanya Mumtaz. Kata sang ibu, “Mereka berusaha keras siang malam mengulangi mata pelajaran untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan anak bangsa Turki yang lain”
”Susah nak berkawan dengan pelajar bangsa Turki sebab pada mata mereka kami ni penumpang sahaja di negara mereka” luah salah seorang anak pelarian Syria. Namun, itulah antara cabaran yang mereka harus tempuhi selepas terpaksa menjadi pelarian di negara orang.
Paling menakjubkan dengan keteguhan seorang anak perempuan Syria yang lain apabila semua kerja sebagai seorang suri rumah terpaksa dia lakukan di usia sejak menjengah sekolah rendah lagi setelah ibunya terpaksa meninggalkan mereka. Dari memasak, membasuh baju, mengemas rumah serta menyiapkan keperluan lima orang adiknya dia lakukan sendiri.
Di setiap bola matanya, tergambar semua keinginan yang dia mahu sebagai seorang gadis biasa yang berumur 14 tahun. Tapi semuanya harus diketepikan demi menjaga makan pakai adik-adiknya. Katanya, dia sanggup berlapar asalkan adik-adiknya kenyang dan sanggup berjaga malam asalkan adiknya tidur lena.
Lawatan kami pada hari itu kami akhiri dengan menghadiahkan mereka baju- baju sejuk serta sedikit makanan yang disumbangkan dari institusi (iikv).
13 February 2018.
Kota Istanbul, Turki.