Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana limpah kurnia dan inayah-Nya, kita masih diberi peluang untuk terus menghirup nikmat udara-Nya disamping orang-orang yang dikasihi.

Allah Taala ada menyebut di dalam Surah Al-A’raf yang bermaksud:

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah. sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebagai seorang Muslim, kehidupan kita sememangnya penuh dengan ujian dan juga rintangan yang datang tanpa putus. Ia datang dalam pelbagai bentuk sama dari sudut zahiriah mahupun batiniah. Ujian berbentuk zahiriah seperti sakit, kerugian dalam kehidupan, kematian, merupakan ujian yang sering kita lihat serta berlaku dalam kehidupan kita. Namun, bagaimana pula dengan ujian yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar seperti godaan syaitan?

Di sinilah, Allah Taala dengan sifat Rahim-Nya memperingatkan kita agar melazimi ucapan Isti’azah ini bagi menghindari gangguan dan hasutan syaitan. Apakah rahsia disebalik lafaz yang mulia ini?

Seorang ulama tersohor Turki, Sheikh Bediuzzaman Said Nursi telah membuat pencerahan berkenaan perkara ini dalam penulisannya yang termasyhur sehingga kini – Risale-i Nur – dalam Kitab Al-Lama’at, bab Cahaya yang Ketiga Belas yang membincangkan tentang rahsia Isti’azah. Beliau telah mengemukakan pencerahan yang amat tuntas serta mendalam yang mana adalah mustahil bagi penulis untuk memuatkannya dalam penulisan yang serba ringkas ini melainkan beberapa isi penting yang boleh diambil manfaat.

  1. Iman itu merupakan satu binaan yang sukar dibina dan dipelihara, tetapi amat mudah dan cepat untuk dihancurkan. Oleh itu, penghalang bagi kehancuran itu adalah berpegang dengan Syariat Allah dan Sunnah kekasih-Nya.
  2. Kewujudan syaitan itu sebenarnya mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Setiap manusia mempunyai potensi yang terpendam. Bagi menyerlahkannya, ia memerlukan kepada tindakan yang berteruskan, yang dinamakan sebagai mujahadah. Mujahadah hanya akan berlaku ketika wujudnya rintangan dari sekeliling. Dengan erti kata lain, kewujudan syaitan itu membuatkan kita lebih kuat untuk berusaha meningkatkan amal soleh bagi membendung kejahatannya.
  3. Kerosakan yang dibawa oleh syaitan itu walaupun kadangkala bersifat kecil, ia tetap mampu membawa kesan kerosakan yang besar. Justeru, adalah penting bagi kita untuk sentiasa berlindung dari kejahatannya dengan melazimi lafaz Isti’azah ini.
  4. Syaitan gemar membisikkan lintasan-lintasan yang kadangkala membawa kepada kekufuran. Contohnya adalah dengan mengaitkan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya disandarkan kepada Allah yang Maha Sempurna. Keimanan yang lemah memudahkan seseorang untuk jatuh ke dalam perangkap kekufuran ini melainkan ia membentengi dirinya dengan Isti’azah serta tidak menghiraukan lintasan negatif seperti ini.

Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini. Semoga bermanfaat.

 

14 Februari 2018