Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Pada hari itu, dia mendengar bunyi hon dari motor posmen. Terus dia turun dan mengambil surat dari peti surat milik rumahnya. Di hadapan surat itu tertulis “Urusan Sri Paduka Baginda”. Disebabkan ketika itu dia sedang sibuk menyiapkan tugasan, terus dia meletakkan surat itu ke dalam laci mejanya. Tidak dibuka dan dibaca isi kandungannya. Malahan dia juga tidak sedar yang pada surat itu ada tarikh luput.

Hari-harinya berlalu begitu sahaja. Dia seakan-akan sudah lupa akan surat yang telah diterimanya hinggalah pada suatu hari terdetik dalam hatinya hendak mengemas laci mejanya. Dia menemukan sepucuk surat dan baru teringat untuk membuka surat itu. Lalu, dia terus membuka surat dan membacanya.

Alangkah terkejutnya dia apabila dalam surat itu tertulis yang pihak istana mahu menganugerahkannya wang berjumlah RM70K. Tanpa membuang masa, dia terus memecut motorsikalnya untuk menuju ke istana. Tercungap cungap dia menyembah dan mengadap sultan dan berkata, “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik mahu mohon maaf kerana patik terlupa untuk membuka surat yang Tuanku kirimkan pada patik dan ketika patik buka surat itu, ianya pun sudah tamat tempohnya. Masih ada lagikah peluang untuk patik menerima hadiah yang berupa RM70K itu?”

Lalu pihak istana menjawab: “Tiada! Peluang itu cuma sekali…” Si lelaki tadi berasa sangat menyesal kerana tidak membuka surat itu lebih awal.

Samalah dengan kehidupan kita sekarang ini. Allah kirimkan kita Surat Agung iaitu Al-Quran. Jika kita tidak pernah buka, baca dan faham semua tawaran serta peringatan Allah di dalamnya, bimbang bila sampai waktu  malaikat maut menarik nyawa kita, kita akan menyesal dan menangis tak sudah sudah di akhirat kelak. Kerana tawaran dan peluang itu cuma sekali.

Firman Allah s.w.t:
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ?” (As Shaff : 10)

Lantas Allah s.w.t berfirman lagi:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka.” (Al-Taubah: 111)

Nah. Inilah pertukaran yang paling menguntungkan. Dengan masamu, kamu menjualnya dengan membaca surat Agung dari Allah s.w.t. Teguran ini bukan sahaja untuk semua yang membaca nukilan ini malah untuk menegur diri saya yang hina ini  juga. Moga-moga ia dapat memberi manfaat di dunia dan juga di akhirat.

Istanbul, Turki.
7 Mac 2018.