Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

(51:56) وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Masyarakat hari ini sudah semakin mendapat kesedaran bahawa kita semua diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta mendapat keredhaan-Nyab berdasarkan ayat Quran di atas yang sering diulang-ulang di dalam ceramah. Semua ibadah yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, jelas di fahaman kita bahawa semuanya atas dasar supaya kita dipayungi dengan redha Tuhan Yang Maha Kaya.

Adapun buah atau keuntungan hasil dari ibadah tadi, semuanya bersifat ukhrawi. Namun, nilai ibadah tersebut tidak akan hilang meskipun ganjarannya sudah diperolehi di dunia. Namun, ganjaran ini mempunyai syaratnya yang tersendiri. Iaitu tidak menjadikan ganjaran itu sebagai matlamat ibadah. Keuntungan yang diperoleh di dunia tanpa diminta tidak akan menghapuskan nilai ibadah, tetapi tidak sebaliknya. Mengharapkan ganjaran ketika melaksanakan sesuatu ibadah bahkan mampu menghapuskan nilai ibadah tersebut.

Syeikh Bediuzzaman Said Nursi berkongsi satu cerita di mana terdapat kelompok yang mengamalkan wirid-wirid tertentu semata-mata untuk mendapatkan ganjaran duniawi. Barangsiapa yang mempunyai pemikiran seperti ini, tidak akan mendapatkannya, apatah lagi menyaksikan ganjaran tersebut, bahkan tidak layak untuk memilikinya. Ini kerana manfaat itu khusus bagi orang yang ikhlas yang sudah semestinya tidak pernah mengharapkan sebarang balasan terhadap amalan yang dilakukan.

Buah dari ibadah ini walaubagaimanapun mampu menjadi perangsang bagi orang yang lemah serta tidak menjadi masalah buat mereka untuk mengingati ganjaran sesuatu amalan ketika mereka melakukannya dengan penuh keikhlasan.

Ya Allah, anugerahkanlah kami sifat ikhlas.

28 Februari 2018