Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Ada satu kisah dua orang sekawan, Ahmad dan Zainal. Kedua-duanya saling mengagumi antara satu sama lain. Ahmad seorang yang baik dan bijak tetapi diuji dengan kehidupan yang sangat miskin. Zainal mengagumi peribadi Ahmad kerana sahabatnya itu pada pandangannya sangat tenang dan soleh orangnya. Sementara Zainal sejak kecil lagi sudah berada dalam keadaan yang mewah tapi sangat baik orangnya. Ahmad kagum dengan Zainal kerana sahabatnya itu jenis yang tidak kisah berkawan dengan sesiapa pun hatta dirinya yang miskin itu.

Mereka berdua berpisah setelah menghabiskan pengajian di sekolah menengah atas dasar tempat pengajian yang berbeza. Tahun demi tahun mengenjak, Alhamdulillah Zainal dilantik menjadi seorang Direktor perniagaan di sebuah syarikat dan sering merantau apabila ada urusan perniagaan. Beliau tidak angkuh dengan kekayaan yang beliau peroleh dan sentiasa solat dua rakaat di mana mana masjid yang dia pergi sebagai tanda dia bersyukur dengan nikmat yang Allah beri.

Pada suatu hari, Zainal berhenti di satu tempat di Indonesia dan di situ terdapat sebuah masjid yang tersergam indah. Dia turun dari keretanya dan menuju ke tempat wudhu bagi lelaki. Zainal menyinsing lengan baju kemejanya yang mahal untuk mengambil wudu’. Diratakan di semua bahagian wudu’ supaya air mengenai kulitnya. Selesai berwudhu, Zainal berjalan perlahan di sekitar koridor untuk mengamati masjid yang besar itu. Semasa dia berjalan, dia melihat seorang lelaki sedang bersungguh-sungguh membersihkan kawasan masjid. Diamati wajah bersih itu seakan dia kenal akan sosok itu. Lalu dia menegur lelaki tersebut, “Assalamualaikum.  Kau Ahmad kan?” Lelaki yang tadi sedang khusyuk membasuh lantai masjid mengangkat mukanya. “Waalaikumussalam. MasyaAllah. Zainal!”. Mereka berpelukan antara satu sama lain bagi melepaskan rindu.

Zainal mengeluarkan kad bisnesnya dan menghulurkan kepada Ahmad. Ahmad menyambutnya lalu berkata.” Wah, kau dahh jadi Direktor Syarikat sekarang! Tahniah Zainal. Aku tumpang gembira melihat kejayaanmu sekarang”. Dalam hati Zainal mula terdetik, “ Takkanla seluas-luas kerajaan ini, Ahmad cuma menjadi tukang cuci di masjid? Orang sebijak Ahmad kalau bekerja di pejabat, mesti sudah dinaikkan pangkat” Zainal senyum ke arah Ahmad lalu berkata, “Baiklah Ahmad, aku nak solat dulu. Selepas ini kita berbual lagi. Mungkin aku ada tawaran pekerjaan baru untuk kamu. Selepas ni, takpayah lagi kamu bekerja sebagai tukang cuci lagi”. Ahmad membalas senyuman sahabatnya itu sambil menepuk nepuk bahu sahabatnya lalu berkata. “Kamu solatla dulu. Aku nak siapkan kerja ni dulu. Biar orang yang datang sembahyang di sini selesa”

Setelah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat. Ada seorang pemuda menegurnya. “Encik. Encik kenal ya Haji Ahmad?”. Dia keliru apabila pemuda itu menggunakan gelaran Haji. “Maksud kamu Ahmad? Saya dan Ahmad kawan baik semasa di sekolah menengah dulu. Tapi kenapa kamu menggelarnya Haji Ahmad? Dia sudah pergi haji ke?”

Pemuda itu dengan cerianya menjawab. “Encik tidak tahu? Beliau sudah lama pergi haji. Sebelum beliau membina masjid ini lagi, beliau sudah pergi haji. Encik perasan tak di luar masjid ini ada hotel yang tersergam indah? Hotel di luar tu pun Haji Ahmad pemiliknya. Haji Ahmad memang macam tu. Suka merendah diri. Sepatutnya saya yang jadi tukang cuci masjid. Tapi disuruhnya saya untuk banyakkan taranum Al-Quran kerana beliau kata suara saya sedap kalau mengaji.”

Didengar satu persatu bicara pemuda tersebut. Zainal menahan malu dalam dirinya kerana tadi telah merendah-rendahkan Ahmad dalam hatinya. Padahal Ahmad jauh lebih berjaya darinya. Allah, Allah, Allah. Beliau beristighfar.

Di saat beliau menyembunyikan kisahnya, Allah telah membuka kehebatannya satu persatu. Ikhlasnya beliau membuat kebaikan demi kebaikan tanpa ada rasa sikitpun mahu menonjolkan pada orang lain. Iya, kita bukan Ahmad dan Ahmad bukan kita. Tapi kita sepatutnya belajar dari kisah Ahmad.

Istanbul, Turki.
9 April 2018.