Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Selesai sahaja solat Zohor, aku terus menguak pintu pejabat rakan sekerjaku. Dia mengangkat mukanya yang sedari tadi asyik memandang laptop menyiapkan tugasan pejabat. Di atas mejanya ada beberapa naskhah sejarah hidup Said Nursi Badiuzzaman. Bibirnya mengukir senyuman dan dia memanggil aku supaya aku ke sisinya.
Dia menaip satu nama di ruangan carian Google dan menunjukkan gambar seseorang yang sangat aku kagumi. “Kenal orang ni?” dia bertanya. Aku mengangguk. Masakan aku tidak mengenali seorang ulama’ hebat yang merupakan salah seorang anak murid Said Nursi Badiuzzaman. Tak lain tak bukan dia beliau adalah Mehmed Nuri Güleç dan digelar (Fırıncı Ağabey).
(Fırıncı Ağabey) bermaksud Abang Penjual Roti. Gelaran itu diberi kepadanya oleh gurunya iaitu Said Nursi Badiuzzaman. Hal ini demikian kerana, beliau bekerja sebagai penjual roti sejak di awal usia mudanya. Beliau sangat mahir membuat roti sehinggakan orang orang akan ternanti-nanti bila dia membuka gerainya.

Setiap pagi dia akan berjalan ke arah satu tempat yang selalunya dia menjual iaitu di Eminönü, Istanbul. Tak sampai dua jam semua rotinya akan habis. Suatu hari, seorang lelaki datang padanya dan cakap, “Aku mahu beli semua rotimu dan aku mahu kamu bekerja denganku. Aku juga akan membuat kamu kaya raya jika bekerjasama denganku”
Lantas Fırıncı Ağabey tersenyum dan menolak pelawaan itu dengan baik. “Maaf saudara, aku takut sekiranya aku menerima tawaranmu aku akan tiada masa untuk menadah kitab Risale-i Nur dari guruku. Aku takut aku tiada masa untuk mengulangkaji dan membaca kitab Risale-i Nur. Aku juga takut masaku untuk dakwah juga tiada sekiranya aku menerima pelawaanmu ini.”

Sungguh, aku terpegun dengan pendiriannya dan jiwanya yang sangat hebat. Dear Syeikh Fırıncı Ağabey, kalaulah syeikh boleh cakap Melayu dah lama saya ajak borak dan sembang. Melihat saja dirinya, terus teringat akan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan.
Al-Fatihah buat Almarhum Said Nursi Badiuzzaman dan Tuan Guru Nik Aziz.
Turki, Istanbul.
24 Februari 2018.










