Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Lima tahun yang lalu, ketika aku disibukkan dengan hiburan dunia, ada seorang anak muda dari Malaysia datang ke Turki semata-mata untuk melihat dan mendalami sendiri sejarah Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Mungkin ada yang masih ingat pada figura yang ceritanya telah disebut sebut penduduk bumi.
Mendengar sendiri bait bait dari salah seorang teman rumahnya melalui video di youtube, aku yakin sekali dia ibarat seorang icon Fatih yang lahir pada zaman yang penuh dengan tribulasi dan mehnah dunia yang menjadi-jadi.
Pada pagi 2 hari sebelum awal Muharram, dia keluar dari rumah awal pagi. Semangatnya berkobar-kobar kerana bakal mengajar pelajar-pelajar baru mengenai Risale-i Nur karangan Said Nursi Badiuzzaman di sebuah madrasah. Dia begitu berhati-hati menuruni bas yang dinaiki dari madrasahnya di Mobilyacilar sambil mendengar alunan muzik seruling Ney, instrumen yang menjadi kegemaran Jalaluddin Ar-Rumi. Jalaluddin atau lebih dikenali sebagai Rumi merupakan penyair tersohor dari Parsi yang banyak mempengaruhi penulisan dan budaya masyarakat Islam.
Ketika cuba melintas di satu persimpangan jalan, langkahnya terhenti. Tubuhnya seakan-akan hilang imbangan lalu dia terjatuh. Pada saat itu jugalah sebuah van ambulans yang datang dari belakang merempuh tubuhnya. Dia terkulai di tepi jalan, namun digagahkan juga berdiri meminta bantuan daripada pemandu van ambulans yang melanggarnya.
Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz, hayat Ahmad Ammar bin Ahmad Azam siswa Universiti Marmara, Istanbul, Turki itu dipinjamkan sehingga 2 November 2013. Di usia mudanya, dia telah banyak melibatkan diri dalam misi kemanusiaan. Salah satunya ketika di Syria yang mana dia pernah menanam cita-citanya untuk syahid di Syria. Dia tersedar daripada tidurnya apabila mendengar bunyi letupan bom dari telinga kiri dan kanannya. Dia bangun lalu mengucap dua kalimah syahadah untuk bersedia seandainya diberi peluang untuk syahid. Tapi selepas itu tiada lagi bunyi bom kedengaran lalu dia menyambung tidurnya semula. Malah catatan terakhirnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang dia berbunyi :
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”
Kisah Ahmad Ammar tiba-tiba menjadi bualan di laman-laman sosial, sehinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki. Di pinggir Konstantinople itu letaknya makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat rapat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai kempen perang jihad fisabillah tahun 674 Masihi. Ribuan orang di Turki menyembahyangkan jenazah pemuda ini.
Mengalir air mata melihat video yang berdurasi 24 minit 14 saat https://www.youtube.com/watch?v=EO7_ubJfkfs bila mengetahui yang dia pernah berpesan kepada sahabat rapatnya untuk mengalunkan ayat alQuran sekurang-kurangnya Surah Al Ikhlas ketika dia meninggal.
Dan sesampainya aku di Masjid Abu Ayub Al-Ansari, seakan tergambar satu persatu kejadian jenazahnya diusung keluar ke tempat pengebumian selepas solat zohor. Pada waktu yang sama aku berdiri di situ. Tergambar orang ramai berebut-rebut mahu mengusung keranda jenazahnya.
Menelusuri perkuburan Ayub yang sangat luas, aku mencari tanah perkuburannya. Sudah dua kali pergi ke Masjid Ayub, tapi tak diizinkan Allah lagi untuk menziarah kubur pemuda mulia itu. Kali ketiga ini, aku hampir berputus asa. Tumit kaki dah start pedih sebab lama berjalan campur dengan sesat. Masa tu cuma berdoa je dalam hati. “Allah, tolong izinkan aku untuk ziarah kubur beliau. Dah jauh ni aku jalan”. Aku perlahan turun menelusuri tangga bata yang banyak retak. Sedang aku turun aku lihat satu taman perkuburan yang dihiasi dengan bunga purple Lavender. Sangat cantik. Aku menaiki anak tangga yang terletak di situ. Dari jauh aku sudah lihat sebuah kubur yang mekar dipenuhi Tulip. Aku berjalan ke arahnya dan aku lihat lambang bendera Malaysia di situ. Aku bergerak laju ke arahnya dan melihat nama Ahmad Ammar bin Ahmad Azzam terpahat di kubur tersebut.

Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk sampai juga di situ. Penat berjalan tadi seakan hilang bila melihat bunga Tulip yang mekar tumbuh di kubur beliau. Saat aku melantunkan kalimah alFatihah, angin sejuk menerpa lembut pipiku seakan akan menyambut pemergian beliau. Entah kenapa aku rasa sangat rapat dengan beliau walaupun tidak pernah bersua. Beruntungnya beliau boleh berjiran dengan Saidina Abu Ayub Alansari.

Aku keluarkan Risale-i Nur karangan Said Nursi Badiuzzaman yang aku tengah baca sekarang. Dalam hati aku terdetik, insyaAllah bakal aku jejak langkahmu Ammar, wahai Sang Syahid yang Tertangguh!
Istanbul, Turki.
2 April 2018.










