إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Sewaktu zaman peperangan sedang berlangsung, terdapat dua orang tentera yang mendapati diri mereka berada dalam sebuah regimen yang sama. Kita namakan kedua-dua inidividu ini sebagai A dan B. A seorang tentera yang terlatih dan bersungguh-sungguh manakala B seorang tentera yang masih mentah dan hanya mementingkan diri sendiri.

A sentiasa fokus dengan tugasanya untun menjalani latihan dan menyertai peperangan, serta tidak memikirkan berkenaan makanan dan bekalan sokongan kerana dia tahu itu merupakan tanggungjawab negara untuk menyediakan keperluan tersebut, hatta menyuapkan makanan ke mulutnya jika diperlukan. Namun itu bukan alasan bahawa dia tidak melakukannya langsung. Dia masih mencari makanan dan bekalan sepatutnya sebagai sebahagian dari tugasnya tanpa menidakkan hakikat tugasnya yang utama. Jika ditanya berkenaan tugas, dia akan menjawab: “Aku melakukan kerja yang meletihkan ini demi negara.” Dia tidak akan mengungkapkan “Aku melakukan semua ini untuk kehidupanku.”

Adapun B, dia tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Namun dia memilih untuk tidak menyertai latihan dan peperangan. Fokusnya hanya untuk memenuhi kehendak dan keinginannya sendiri. “Ini adalah urusan negara, untuk apa saya perlu ambil tahu?” Dia mengambil keputusan untuk meninggalkan regimen dan meneruskan kehidupannya dan pergi membeli belah.

Satu hari, A berkata kepada B:

“Tugas kamu ialah untuk berlatih dan berperang. Itu tujuan kamu dibawa ke sini. Percayalah kepada raja kita, dia tidak akan membiarkan kita kelaparan. Itu adalah tugasnya. Adapun kamu, kamu makhluk yang lemah, dan takkan mampu memberi makan untuk diri kamu sendiri di mana jua kamu berada. Dan sekarang kita dalam situasi peperangan. Dia akan menggelarkan kamu sebagai pembelot, dan menghukum kamu. Ya, ada dua pekerjaan yang kita perlu ambil berat. Pertama ialah kerja raja kita yang mana kita lakukan kerja yang meletihkan itu dan dia memberi kita makan kerananya. Yang kedua ialah kerja kita iaitu berlatih dan terlibat dalam perang dan kadangkala raja turut membantu kita.”

Sheikh Said Nursi memberikan perlambangan tentera yang bersungguh-sungguh itu sebagai seorang Muslim manakala tentera yang malas itu mewakili orang yang sentiasa melazimi hidupnya dengan kelalaian serta meninggalkan perintah Raja. Seorang Muslim menyedari kewajipannya dalam agama serta berusaha melakukannya. Dia berjuang menentang hasutan syaitan, keinginan nafsunya yang jahat, serta mengelak dari melakukan dosa semampu mungkin yang digambarkan sebagai peperangan yang sedang berlaku.

Terdapat dua tugas yang perlu dilakukan. Pertama, mengabdikan diri kepada Raja segala Raja, percaya serta sentiasa bergantung harap kepada-Nya. Kedua, menjalani dan meneruskan kelangsungan hidup. Sesiapa yang mencari bekalan hidup dari khazanah Yang Maha Kaya selepas menunaikan kewajipan solat, serta pergi berseorangan supaya tidak menyusahkan orang lain, itu bukanlah perkara yang memalukan, bahkan dikira juga sebagai ibadah. Adapun yang meninggalkan solat, dia seakan-akan orang yang bergelut dalam kehidupan dan pergi ke pasar dalam keadaan merayu-rayu.

Jadi, kita mahu menjadi tentera yang mana?

3 April 2018