Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Evet. Kalau diimbas balik, seakan-akan tidak percaya yang gadis kelahiran Kelantan itu sekarang di bumi Istanbul. Setiap kali masuk pejabat, akan ada lagu Turki kedengaran dari bawah. Ditemani pula dengan bunyi burung-burung berkicauan dari arah tingkap.

Tidak cukup dengan itu, dikurniakan officemates perempuan yang sangat sangat baik. Diberi tunjuk ajar sekiranya ada yang salah dan ada yang tidak faham. Tambah lagi, Allah letakkan diri ini di sebuah rumah yang diisi dengan housemates yang sangat penyayang. Kalau dilihat luaran seperti gadis biasa, tapi subhanallah sangat hebat pendiriannya. Setiap petang Selasa, rumah kami akan dipenuhi dengan gadis gadis lain yang dahagakan ajaran Said Nursi Badiuzzaman. Dan housemates aku yang tadilah yang akan sama-sama menyampaikan dan berkongsi ajaran dalam Kitab Risale-i Nur.

Setiap malam pula, kelima-lima ahli rumahku akan menghidupkan ajaran Said Nursi Badiuzzaman di ruang tamu yang kami gelarkan ia Salon dalam bahasa Turki. Walaupun mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, tetap gigih menerangkan setiap satu ajaran dalam Kitab Risale-i Nur itu tadi.Hebat bukan?

AllahuAkbar. Sangat sombongnya aku sekiranya aku tidak bersyukur dengan kurniaan ini.

Pada suatu malam, kami membicangkan tentang Hari Kiamat. Hari yang mana akan menentukan siapa yang akan mendapat kebahagiaan abadi dan siapa yang akan mendapat kesedihan abadi. Dan saat itu salah seorang dari ahli rumahku tadi membacakan satu hadis dari Sahih Bukhari.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, Bagında Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
(1) imam yang adil,
(2) seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allâh,
(3) seorang yang hatinya bergantung ke masjid,
(4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allâh, keduanya berkumpul karena-Nya dan berpisah karena-Nya,
(5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu ia berkata, ‘Aku benar-benar takut kepada Allâh.’
(6) seseorang yang bershadaqah dengan satu shadaqah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta
(7) seseorang yang berdzikir kepada Allâh dalam keadaan sepi lalu ia meneteskan air matanya.
(HR. Bukhari, no. 1423 dan Muslim, no. 1031)

Dan dia memfokuskan kepada satu point penting iaitu “Dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, dan keduanya berkumpul kerana Allah serta berpisah kerana Allah”

Amalan yang sangat simple tapi ganjaran dia free free dapat naungan Agung dekat akhirat. Allah. Allah. Begitu besar tawaran yang Allah tawarkan dan sangatlah rugi sesiapa yang tidak merebutnya.

Istanbul,Turki
21 March 2018.