Fakhri Ajmal Bin Amir
إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.
Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Seorang lelaki badwi masuk ke sebuah istana yang besar dan indah. Dekorasinya mengagumkan. Dibina gah ditengah-tengah padang pasir yang sepi. Lelaki itu pun berjalan mengelilingi istana tersebut sambil meneliti ukirannya yang penuh seni, serta bentuknya yang pelbagai rupa. Disebabkan kejahilannya, dia menganggap salah satu barang yang berada dalam istana itulah yang mencipta seluruh isi bangunan.

Kakinya melangkah masuk ke dalam istana. Dia terlihat sebuah buku yang mengandungi perincian tentang pembinaan istana tersebut. Bermula dari reka bentuk, bahan yang perlu digunakan, maklumat tentang bahan-bahan tersebut, dan pelbagai lagi perincian lain yang amat teliti. Buku itu hanyalah semata-mata objek yang mengandungi maklumat. Ia tidak turut serta membina istana kerana ia tidak memiliki anggota badan untuk bekerja, namun kaitannya dalam pembinaan istana tidak dapat dinafikan.
Lelaki badwi itu, kerana kejahilannya, berkata dengan yakin: “Buku inilah yang telah merangka, membina, dan menyusun atur istana ini”. Pernyataan ini jelas tidak masuk akal. Bagaimana objek yang tidak mempunyai apa-apa kudrat mampu membina satu binaan yang besar?

Orang-orang yang menolak kewujudan tuhan sering mencari “Pencipta” dalam kalangan makhluk. Kita sebagai Muslim sudah sedia maklum berkenaan “Sunnatullah”. Setiap perjalanan makhluk itu berlaku mengikut ketetapan yang dikehendaki oleh Allah. Namun bagi yang tidak mempercayai tuhan, “alam” adalah asbab terjadinya sesuatu perkara. Seringkali kita mendengar: “Kejadian ini berlaku disebabkan adanya reaksi sekian dengan sekian, pertembungan antara itu dan ini”. Dari sudut ilmiah, ia perkara yang tidak dinafikan. Namun hakikatnya, kesemua “reaksi” dan “pertembungan” itu tidak akan berlaku tanpa ada yang menghendaki.
Semoga kita terus tetap di dalam iman, dan semoga mereka diberi rahmat dan petunjuk.
21 MAC 2018










