Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Masa tu, jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Baru sahaja sampai di  pintu rumah, aku memberi salam lantas meletakkan kasut hitamku di rak kasut. Kedengaran ahli rumahku menjawab salam dari arah ruang tamu. Aku mempercepatkan langkahku ke ruang itu. Kesemua ahli rumahku sedang berbual antara satu sama lain dan aku mula melabuhkan punggung di atas sofa empuk yang tersedia di ruang tamu.

Salah seorang ahli rumahku berkata. “Zehra, tomorrow i will go to Jurussalem to be a volunteer there for four days insyaAllah”. Aku mengangguk tanda faham kerana sebelum ini aku sudah tahu rancangannya cuma belum tahu tarikh yang betul-betul dia akan pergi. Di saat mula-mula aku mendengar rancangannya untuk ke sana, aku terpegun. Dia sanggup mempertaruhkan nyawa, wang dan tenaga ke BaitulMaqdis semata-mata mahu membantu saudara seagama di sana.

Ketika itu cuma aku dan dia di dalam bilik. Aku menanyakan padanya beberapa soalan dan salah satunya ialah kenapa dia memilih untuk ke baitul Maqdis. Dia senyum. Lalu dia menjawab. “Bukankah Rasulullah ada pesan tempat yang dianjurkan pergi salah satunya adalah Baitul Maqdis?”

Jatuh tersungkur sebenarnya bila dengar jawapan dari gadis keturunan Turki itu. Aku senyap tak terkata. Malam itu aku buat research pasal hadis dan aku menemukan hadis yang berbunyi:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِي هَذَا وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَ

Maksudnya : “Tidak dikerahkan melakukan suatu perjalanan kecuali menuju tiga Masjid, yaitu Masjid Al-Haram (di Mekkah), dan Masjidku (Masjid An-Nabawi di Madinah), dan Masjid Al-Aqsha (di Baitul Maqdis)”.

(H.R. Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu).

Sebenarnya dah banyak kali jumpa hadis ini. Tapi dulu cuma sekadar hafaz semata. Harini dia akan berangkat ke Baitul Maqdis. Dalam bilik juga dah ada beberapa sumbangan yang bakal dikirimkan memalui ahli rumahku itu. Aku memeluk dia pagi tadi kerana mungkin aku tak sempat untuk menghantarnya ke airport kerana biasanya akan sampai Maghrib di rumah. “Please pray for me my dear. You know it is a very dangerous place”. Dia menggosok matanya yang merah. Aku senyum sambil memberi kata-kata semangat. InsyaAllah kita jumpa lagi 4 hari lagi teman!

Terima kasih Tuhan kerana hantar aku ke sini.

Istanbul, Turki.
21 Mac 2018.