Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.
Teringat aku pada salah seorang sahabatku di USIM yang merupakan salah seorang teman sekuliahku. Sekali pandang masyaAllah garang sungguh. Tapi bila dah kenal Subhanallah. Sangat sangat gila. Bukan gila yang biasa. Tapi gila yang memberi inspirasi. Suatu hari di dalam kuliah, terpacak di hadapan aku dan kawan-kawanku seorang Murabbi yang sangat aku hormati. Tutur katanya lembut tapi bila memberi nasihat terus masuk ke hati. Beliau bertanya kepada semua anak didiknya. “Apa khabar harini semua?”
Lantas sahabat yang aku ceritakan tadi menjawab, “Luar biasa”. Kata-katanya seakan membisik tapi sangat jelas mengenai gegendang telingaku. Aku menoleh padanya sambil tersenyum. Sangat positif. Padahal ketika itu, memang kami dibebani oleh assignment yang bertimbun.
Iya. Sikap positif itulah yang aku bawa ke Istanbul, Turki. Kerana aku masih ingat lagi bait bait dari Dr. Zulaili sebelum aku melangkah ke bumi Turki ini. “Ingat, awak ialah duta FPQS, duta USIM, dan paling pentıng sekali duta Islam. Jaga tingkah laku sebab orang akan sentiasa observe awak macam mana”.
Dan beberapa hari yang lalu, seperti biasa aku dan rakan serumahku akan membuat rutin biasa iaitu dengan mengadakan Risale-I Nur Dars di rumah kami. Dan sampai di suatu bahagian dalam Risale-I Nur kami membicarakan tentang kematian.

Salah seorang ahli rumahku memberi satu analogi. Dia menceritakan tentang perasaannya apabila pulang ke rumah. Iya untuk pengetahuan pembaca semua, dari Istanbul ke kampungnya, ia memakan masa yang sangat panjang dan memerlukan tempat duduk di dalam kapal terbang untuk sampai. Disebabkan perasaan teruja dia pulang ke kampung halamannya, dia sudah tidak kisah apa rintangan yang akan berlaku sepanjang perjalanan ke rumahnya. Sebab dia dah sangat rindu untuk pulang ke rumah.
Samalah dengan situasi kita sekarang, sepatutnya kita juga begitu. Rindu untuk pulang ke rumah kita, di pangkuan Tuhan. Dunia ini Cuma persinggahan sahaja, bukan lagı tempat tinggal yang abadi. Oleh itu, apa sahaja rintangan yang mendatang ke rumah abadi (syurga), kita jalan terus. Jangan berhenti berjalan hingga jatuh ke syurga sana.
Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.” Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.
(Q.S. Al-Baqarah : 25)
Istanbul, Turki.
21 March 2018.










