Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Semenjak kecil, kita sudah dibiasakan dengan mentaliti bahawa setiap perbuatan baik akan diberi ganjaran, dan setiap perbuatan jahat akan dijatuhkan hukuman. Kedua-dua prinsip berkongsi perkara yang sama: si pelaku akan menerima balasan atas setiap tindakannya. Namun, balasan dari Allah terhadap makhluknya sedikit berlainan konsepnya. Pelaku dosa akan menerima balasan neraka kerana perbuatan maksiatnya, manakala pelaku amal soleh mendapat ganjaran syurga kerana rahmat Allah.

Sheikh Bediuzzaman Said Nursi ditanya berkenaan hikmah dari perkara ini kerana secara logiknya, bukankah kita diberi ganjaran syurga kerana amal soleh yang dilakukan?

Seperti yang kita sedia maklum, manusia merupakan antara faktor penyebab berlakunya banyak kerosakan di atas muka bumi ini, manakala hawa nafsunya cenderung  untuk melakukan kerosakan dan keburukan. Keburukan dan kerosakan itu pada asalnya tidak wujud. Namun nafsu manusia berkeinginan untuk melakukannya, dan perbuatan manusia merealisasikannya, maka manusialah yang akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan yang dilakukan.

Adapun amal soleh, ia sebenarnya tidak terikat dengan berkat usaha dan perbuatan manusia. Manusia bukanlah pelaku sebenar dari kebaikan yang dilakukan. Allah Taala berfirman di dalam Surah Yusuf yang bermaksud nafsu ammarah itu akan sentiasa mengajak kepada keburukan. Kerana rahmat Allah, timbul keinginan untuk beramal soleh, dan amal soleh itu dapat dilaksakan dengan kuasa Allah.

Adapun selepas selesai melakukan amal soleh tersebut, ia akan mewujudkan rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya di dunia serta nikmat iman. Oleh itu, ganjaran syurga dari Allah merupakan kurniaan yang tulus dari-Nya, bukan kerana perbuatan kita.

Bersyukurlah atas nikmat Islam dan Iman.

6 Mac 2018