Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Kenapa kita perlu percaya kepada kehidupan akhirat? Kenapa alam akhirat itu sendiri perlu ada?

Ini adalah antara persoalan yang selalu dilontarkan oleh orang yang hanya berfikir bahawa kehidupan ini hanya terhad di atas muka bumi tanpa ada kesinambungan selepasnya. Sheikh Bediuzzaman Said Nursi memberikan 4 hujah tentang kepentingan kewujudan alam akhirat yang merupakan perkara penting untuk kebahagiaan hidupnya.

Pertama.
Hanya dengan kewujudan syurga, kanak-kanak [yang merupakan separuh dari jumlah total bilangan manusia] mampu menghadapi kematian orang-orang disekeliling mereka.
Situasi itu tentunya menakutkan, dan mampu meberi kesan trauma, melemahkan jiwa mereka. Hanya dengan mengetahui kewujudan syurga, perasaan kanak-kanak itu dapat dipulihkan, malah menjadi sumber kekuatan mereka untuk meneruskan kehidupan. Mereka akan sedar bahawa mereka mempunyai harapan, dan akhirnya kembali hidup dengan gembira.

Kedua.
Hanya dengan kehidupan di akhirat, orang-orang dewasa mampu menghadapi ketakutan hampirnya mereka dengan kematian, menenangkan fikiran mereka yang menyedari kehidupan mereka yang penuh dengan  keindahan itu akan pergi. Hanya dengan mengetahui kewujudan alam yang kekal abadi, mampu menenangkan perasaan mereka serta mengelakkan dari menjadikan dunia ini seakan-akan penjara, serta tekanan jiwa
buat mereka.

Ketiga.
Dengan memikirkan kewujudan neraka, ia mampu mengekang emosi remaja yang kita sedia maklum, sentiasa membuak-buak, cenderung untuk melakukan kerosakan, serta mengucar-kacirkan masyarakat. Jika tidak kerana kewujudan neraka, ideologi “Hanya yang kuat akan terus berkuasa” pasti akan menunjukkan kesannya yang sudah tentu memudaratkan orang lain.

Keempat.
Antara perkara terpenting bagi kehidupan manusia adalah keluarga. Mereka itu seakan-akan dunia kecil kita, syurga, tempat berlindung, dan sumber kebahagiaan. Kebahagiaan dalam sesebuah keluarga itu dapat dicapai dengan adanya sifat saling menghormati, jujur, sanggup berkorban, dan sebagainya. Semua ini adalah tidak mustahil dengan adanya hubungan yang berpanjangan yang berlangsung buat selama-lamanya, dan mereka mempercayai perkara ini. Seseorang mungkin akan mengatakan: “Kamu akan menjadi penemanku buat selamanya di dunia yang kekal abadi.” Dia akan berdamping dengan
orang yang dikehendakinya dan mengharapkan hubungan itu akan berkekalan buat selamanya. Adapun hubungan yang dibina secara singkat namun terpaksa menghadapi perpisahan buat selamanya sudah tentu menjadi perkara yang menyakitkan kerana seakan-akan membina hubungan yang tidak wujud.

Kehidupan kita tidak berakhir di sini. Akan ada bahagian 2. Mereka?

14 April 2018