Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Tepat sekali, Allah mahu tarbiah diri seketul gadis yang hina ini di bumi Istanbul. Sekali lagi, Allah temukan aku dengan insan yang pada pandanganku sangat hebat. Sama seperti orang sebelum ini yang pernah aku ceritakan di dalam entri “Hidayah Sampai Ke Amerika”. Berbezanya ialah, beliau merupakan penganut tegar agama Kristian. Memang seluruh keluarganya sangat menjaga dan mempertahankan agama Kristian.

Jika ada isu atau perdebatan di kalangan rakan-rakannya sendiri yang melibatkan Kristian dan Islam, dialah yang keras menyatakan ajaran Kristian itu betul. Sekalipun, dia tidak pernah bersetuju dengan apa yang dikatakan dalam ajaran Islam.

Sampailah suatu hari dia ditemukan dengan seorang jejaka yang beragama Islam. Selepas beberapa ketika, ditakdirkan oleh Allah juga dia bermimpi tentang sesuatu yang menyebabkan dia ingin menukar agama. Ajaib bukan? Dari seorang yang sangat keras mempertahankan agama Kristian, boleh jatuh cinta dengan Islam dengan hanya satu mimpi. Subhanallah Maha Suci Allah. Ternyata benarlah, Allah yang Maha membolak-balikkan hati hati hambaNya.

Selepas menganut agama Islam dia berkahwin dengan jejaka yang mula-mula ditemuinya itu. Namun begitu, dia rasa dirinya, hatinya dan jiwanya kosong. Katanya, dia tidak mempraktikkan gaya hidup Islam dengan sempurna kerana tidak faham dengan sebenar-benar faham tentang ajaran Islam pada waktu itu.

Firman Allah s.w.t:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?
(QS: al-‘Ankabuut Ayat: 2)

Dia diuji lagi dengan hubungan perkahwinan yang tidak lama. Dengan ilmunya yang belum faham tentang agama Islam serta ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak kecil, telah membuatkan dirinya makin kosong. Dia duiji dengan kehilangan yang sebelum ini tidak pernah terbayang dalam pemikirannya. Ibunya beberapa kali menelefon atas tujuan memujuknya supaya menukar balik agama kepada Kristian. Pada masa itu, dia hampir goyah kerana dia tidak mempunyai sesiapa yang dia boleh bergantung harap.

Namun, dia kuatkan hatinya untuk terus istiqomah dalam Islam. Setiap kali solat, dia berdoa sungguh-sungguh supaya diberi petunjuk atas semua ujian yang dia hadapi pada ketika itu. Sampailah Allah takdirkan dia membaca Kitab Risale-i Nur di bumi Istanbul. AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar.

Betapa langit akan cantik dihias pelangi setelah hujan, begitu juga kita akan bertambah cantik selepas menerima ujian. Alhamdulillah beliau mula mempraktikkan Islam dalam hidupnya setelah membaca hasil penulisan Said Nursi Badiuzzaman. Beliau ialah Dr. Nur Sakeenah Thomas yang mana sekarang merupakan seorang pensyarah wanita yang berkerjaya di salah sebuah universiti di Malaysia dan sudah berhasil menghasilkan thesis PHD tentang penulisan Said Nursi pada tahun lepas. Paling mengejutkan lagi, beliau juga pernah menjadi pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mana ia merupakan tempat aku menuntut ilmu sekarang.

Dari kiri gambar, Nur Mutmainnah(anaknya), Dr Nur Sakeenah Thomas dan saya.

Sungguh, saat mendengar kisah dari mulut anaknya, habis satu badan meremang. InsyaAllah moga Allah pelihara iman kita hari ini dan hari yang akan mendatang.

Istanbul,Turki.
21 Februari 2018.