Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Masa tu jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Gadis kecil itu melolos di sebalik orang ramai yang memenuhi trem Metro bawah tanah. Padahal hari Selasa sepatutnya masa tu orang dah tak ramai. Dia sedikit menghembus nafas lega apabila dia sempat menaiki tren tepat pada waktunya.

Disebabkan ramai orang, seat dalam trem tu dah penuh dan dia terpaksa berdiri. Dia memerhati gelagat orang Turki yang kebanyakannya sedang menelaah buku dan sebahagian lagi mata menatap di skrin telefon.

Sampai di stesen Osmanbey, bangun seorang pakcik tua dari tempat duduknya. Kemudian seorang perempuan muda bertudung satin yang berbangsa Turki yang turut sama berdiri tadi, mengambil tempat duduk pakcik itu.

Perempuan muda tadi menggeledah beg galasnya seakan-akan mencari sesuatu. Lama mencari. Kemudian dia keluarkan di atas ribanya. Dia mula membelek belek helaian yang sudah ditanda dengan tali penanda merah.

Mungkin perasan ada yang memerhati, gadis kecil tadi melarikan pandangannya. Namun tak sampai seminit, matanya terus tertumpu pada gadis yang bertudung tadi. Dari gerak geri bibirnya sudah boleh teka dia sedang sebut “Bismillahirrahmanirrahim”. Iya perempuan bertudung satin itu tengah membaca Quran. Terkumat-kamit mulutnya melafazkan kalimah suci Allah. AllahuAkbar. Dahla cantik, solehah pulak tu.

Teringat pesan seorang lelaki teragung dalam hidupku iaitu babaku sendiri, “Jangan tinggal Quran. Sebab Quranlah semua urusan along boleh jadi mudah”. Iya. Saat baca Quran, walaupun kerja masih bertimbun tetap rasa tenang. Urusan dipermudahkan satu persatu. Alhamdulillah.

الَّذِينَ ءَاتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاَوَتِهِ أُوْلَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَن يَكْفُرْ بِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Orang-orang yang telah kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al Baqarah: 121)

Istanbul, Turki.