Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Tak pernah bosan menelusuri kisah hidup Said Nursi Badiuzzaman. Ada sahaja cerita baru yang menerpa di gegendang telinga gadis berdarah Kelantan itu. Siapa lagi gadis itu kalau bukan aku yang datang ke sini kerana dahagakan ilmu Allah.

Said Nursi Badiuzzaman merupakan figura terkenal di bumi Turki. Namanya di sebut-sebut hingga sekarang dan karyanya diselak saban hari berulang-ulang. Ketika hidupnya di penjara, dia menangis. Menangis bukan sebab sedih dengan keadaan dirinya. Tetapi sedih dengan remaja yang dia lihat dari balik jendela besi penjara.

Para remaja itu sedang bergelak ketawa lelaki dan perempuan. Tanpa mereka sedar mereka sedang mencipta tangisan di mata mereka apabila umur mereka meningkat kelak. Disibukkan dengan duaniawi sehingga lupa tentang perjalanan ukhrawi yang bakal mereka tempuh.

Kalau penjaga penjara sibuk menggalas senapang mengawal penjara, beliau pula sibuk memegang pensil dan kertas bagi menghasilkan penulisan Risale-i Nur. Mesti kalian aneh bukan dari mana beliau mendapatkan kertas di dalam penjara?

Nah,ini dia. Akan ada hari di mana dia meminta pengawal penjara membeli manisan kerana katanya dia kempunan. Pada ketika itu kebanyakan manisan dijual di dalam kepingan kertas. Kertas dari manisan tadilah yang dia gunakan untuk menulis. Manisan yang dibeli tadi diberi semuanya kepada penjaga penjara. Siapa sangka kertas yang dulunya bekas manisan yang tiada nilai menjadi manuskrip penting pada hari ini.

Bila diperhatikan manuskrip tulisan beliau di penjara, beliau turut menyertakan sekali rujukan dari Kitab-kitab Hadis seperti nombor hadis siap dengan muka surat lagi dan sebagainya. Bila disemak rujukan tersebut, ternyata muka surat kitab yang dijadikan rujukan itu tepat sekali. Sekiranya difikir secara logik, dari mana beliau melihat rujukan-rujukan itu semasa di penjara? Allahu Akbar Allah Maha besar. Allah kurniakan kelebihan istimewa kepada beliau. Daya ingatan beliau seperti mesin fotostat. Apa yang dibaca semuanya akan melekat dalam pemikirannya.

Sebagai contoh, sekiranya kamu menyuruh beliau membaca satu berita di surat khabar kemudian kamu uji beliau. Yang paling dasyatnya dia boleh menuturkan satu persatu perkataan yang tertulis di berita tersenut. Ajaib bukan. Tapi itulah dia. Figura hebat di Turki.

Rustem Pasa Medresesi, Turki.
28 Mac 2018.