Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Siapa yang suka ditimpa penyakit?

Takkan ada orang yang nak ditimpa penyakit. Bahkan satu keganjilan kalau kita dengar seseorang tu mengucapkan “Alhamdulillah, ana diberi kesakitan oleh Allah S.W.T”. Sebab kita sering memandang sakit tu dari perspektif yang negatif. Kita akan terbaring lemah, takde produktiviti, hilang selera makan, dan kita merasakan masa tu berlalu macam tu sahaja tanpa berbuat apa-apa kerana keperluan badan yang sakit untuk berehat.

Sheikh Said Nursi ada menerangkan dalam kitab Risale-i Nur berkenaan betapa bermanfaatnya ujian sakit dan serta bagaimana sakit tu boleh memanjangkan umur. Satu konsep yang “rare”.

Manusia dikurniakan umur, yang mana modal umurnya tu akan terus berkurang, sehinggalah luput. Dan jika kita perasan, hidup yang selalu dipenuhi dengan perkara lagha, akan terasa terlalu cepat pergi. Bagi orang yang berakal, ini satu kerugian yang besar sebab dia tidak isi masanya untuk mencari bekal akhirat. Maka masa bila dia berkesempatan untuk “qada” semula pencarian bekal akhiratnya?

Jawapan ialah semasa dia sakit. Sheikh Said Nursi menyatakan satu ungkapan yang sangat bermakna: “Bukankah ketika usia yang panjang dilalui dengan penuh derita maka akan diucapkan kalimah ini: “Betapa panjangnya masa musibah dan pendeknya waktu gembira””.

Sekiranya orang yang diuji dengan sakit itu terus bersabar, maka setiap tempoh yang dilaluinya itu dikira sebagai ibadah. Boleh jadi, 1 minit dia bersyukur dan bersabar, sama besar nilainya dengan 1 jam ibadah. Bagaimana kalau sehari? Sebulan? Atau penyakit yang masih belum jelas akan hilang tandanya? Pasti nilai masa ibadahnya tidak terhitung. Apatah lagi ganjaran dari Tuhan Yang Maha Kaya.

Tuhan itu Maha Pemurah, kita yang selalu terleka.

13 MAC 2018