Fakhri Ajmal Bin Amir

إن الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستغفره ونتوكل عليه، أما بعد.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasihnya sang penghulu sekalian nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Kita sedang hidup di zaman fitnah. Fitnah yang bukan hanya sekadar melemparkan tuduhan tidak berasas kepada seseorang, bahkan suasana kehidupan yang hilang sudah harmoninya kerana terlalu banyak kerosakan yang berlaku. Pergaduhan, pertelingkahan, keruntuhan akhlak yang semakin meruncing ini semuanya menjadi tanda bahawa hampirnya kita kepada hari perhitungan nanti seperti yang terdapat dalam banyak hadith-hadith nabi.

Adapun dari sudut asbab, ujian fitnah ini tidak lain adalah berpunca daripada kegagalan kita dalam mengikuti ajaran Al-Quran serta penerimaan yang tidak berasas terhadap pemikiran Barat. Pemikiran Barat melahirkan masyarakat yang mementingkan kebendaan, hilangnya kasih sayang, serta tiada ketenangan hati. Setiap usahanya dilakukan untukmemenuhi kepuasan diri, sedangkan nafsu itu tidak pernah puas walaupun dengan memiliki seluruh isi dunia, menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kebajikan orang lain.

Orang yang mengikuti ajaran Al-Quran, dia adalah seorang hamba. Namun dia tidak mengabdikan diri kepada makhluk walaupun yang paling besar,tetapi kepada tuhan yang Maha Agung. Dia seorang yang lemah lembut, tetapi tidak menghinakan diri selain tuhannya yang Maha Mulia. Dia miskin, namun tidak membutuhkan kepada yang lain kerana merasa cukup dengan ganjaran pahala dari tuhannya yang Maha Kaya.

Demikianlah perbezaan orang yang memilih pemikiran Barat atau Al-Quran sebagai gurunya. Murid aliran pemikiran Barat menjadikan saudaranya sebagai seteru, malah memburukkan juga saudaranya. Sedangkan murid Al-Quran itu melihat sekalian hamba Allah sebagai saudaranya, hattakan makhluk tidak berakal sekalipun.

Berikut merupakan perbandingan yang dilakukan oleh ulama tersohor Turki, Sheikh Bediuzzaman Said Nursi terhadap perbezaan orang yang memilih jalan Barat dan jalan Al-Quran. Kehidupan beliau sendiri yang sentiasa tabah dalam menyebarkan kebenaran Al-Quran walaupun diuji dengan pemenjaraan yang lama menyebabkan beliau dipandang tinggi oleh manusia di zamannya sehingga kini. Kerana keberkatan Al-Quran, peninggalan ilmunya masih terus hidup biarpun beliau sudah lama pergi menghadap Pencipta.

Al-Fatihah buat beliau.

16 Februari 2018