Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat kekasihNya nabi, Muhammad S.A.W serta seluruh ahli keluarga dan sahabatnya.

Pada 27 Februari yang lalu, Istanbul Foundation for Science and Culture (IFSC) dikunjungi oleh sekumpulan orang berpengaruh di Malaysia dari institut kementerian pendidikan. Pihak IFSC sangat mengalu-ngalukan kedatangan mereka. Disebabkan mereka datang dari Malaysia, saya ditugaskan oleh Dr. Hakan untuk menyambut mereka sekaligus mengikuti kesemua sesi bersama mereka.Dasar tujuan lawatan itu adalah untuk berkongsi dan bertukar pendapat sistem pendidikan di Turki dan juga di Malaysia. Salah satu wakil dari Malaysia berkata, “Hari ini di Selangor terutamanya, ramai ibu bapa yang sanggup menghabiskan wang mereka demi menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah agama. Disebabkan bilangan sekolah agama yang sangat sikit di Selangor, yuran untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah agama menjadi lebih mahal berbanding dengan sekolah bukan agama”

Beliau juga menerangkan bahawa sekolah agama yang beliau maksudkan bukanlah sekolah untuk mempelajari subjek agama semata-mata malahan juga diseimbangi dengan subjek sains dan matematik.Mendengar kata-kata beliau, Dr. Hakan yang merupakan salah seorang ahli tertinggi di dalam institusi IFSC menyuarakan keinginan dan hasrat Almarhum Said Nursi Badiuzzaman untuk membuka Madrasah Zahra yang  tidak kesampaian  yang mana ia menggabungkan matapelajaran fardhu kifayah serta matapelajaran yang berunsur diniah. Beliau juga ada membacakan bait Said Nursi Badiuzzaman yang membawa maksud bahawa ilmu itu akan menjadi benar benar ilmu apabila kedua dua unsur ini digabungkan.

Ini bukan bermaksud bahawa pelajar bidang sains mempelajari ilmu akidah, fiqh dan sebagainya. Tapi ia bermaksud apabila kamu belajar Biologi, Fizik dan Kimia kamu makin kenal Pencipta kamu. Sebagaimana apabila kamu melihat buah epal, kamu akan lihat lima belas nama nama Allah ada di dalamnya.

Kunjungan ini menjadi sangat bermakna apabila kedua dua belah pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama. Moga-moga kerjasama ini membawa seribu satu kebaikan di masa hadapan.Turki,Istanbul.
1 Mac 2018.