Wan Fatimah Zahra’ Binti Wan Yusoff

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Allah berfirman:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki”. [Al Qashash/28 : 56].

Dilahirkan dalam Islam merupakan satu nikmat yang sangat besar bagiku. Diajar mengucap kalimah syahadah sejak kecil, belajar solat dengan betul di awal usia, memasuki kelas tajwid serta belajar berpuasa terus menerus langsung dari kedua ibu bapaku. Sungguh, aku bersyukur.

Tapi tidak bagi seorang wanita yang berasal dari Texas ini. Sejak kecil, memasuki gereja adalah amalan rutin baginya. Kedua ibu bapanya merupakan penganut agama Kristian yang tegar.  Dia langsung tidak mempunyai peluang untuk merasa kemanisan Islam di usia kecilnya. Dan juga bukanlah kalimah Iqamat yang pertama didengarinya semasa mula mula lahir di dunia.

AllahuAkbar. Tanya pada dirimu. ‘Maka nikmat Tuhan apa lagi yang ingin engkau dustakan?’

Tapi benarlah, hidayah datang tanpa mengenal bangsa. Di pertengahan usianya, Allah datangkan hidayahNya pada seorang wanita Amerika ini, Najla Tammy Kepler. Beliau terdetik untuk mengenal Islam apabila suatu hari ditakdirkan dia mengkaji  40 Hadis Nabi s.a.w. Di situ hatinya  mula terdetik dan merasakan bahawa semua permasalahan yang wujud di dunia ini ada jawapannya dalam Islam.

Hatinya sangat cekal dalam mencari tujuan hidupnya dilahirkan di dunia ini. Beliau merasakan ketenangan yang luar biasa apabila membaca  Al-Quranul Kareem, iaitu kitab suci buat seluruh umat Islam. Sejak memeluk agama Islam, beliau mula menulis buku mengenai penghijrahannya sebagai seorang Muslim.  Penulisannya mendapat sambutan yang sangat hebat.

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Najla Tammy Kepler setelah selesai sesi menemubual dengan beliau.

Sejak berada di Turki selama 6 tahun, beliau berjaya menghasilkan beberapa buah buku di dalam bahasa Turki dan Bahasa Inggeris. Salah satu buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris ialah, “A Road to Truth from Texas”.

Bertemu dengan beliau merupakan satu nikmat yang tidak kusangka-sangka dalam hidupku. Terima kasih Tuhan.

Masjid Suleymaniye, Istanbul.
15 Februari 2018.